Tajdid Iman: Memelihara kesucian hati

Membaca al-Quran, solat dan mengingati mati asas ummah capai ketenangan hidup.

PENYAKIT berbahaya sehingga boleh menyuramkan masa depan seseorang ialah tekanan perasaan yang berpunca daripada hati sakit.

Seorang guru yang tertekan boleh bersikap kejam dan melampau dalam mendisiplinkan murid atau mungkin membiarkan mereka tanpa kawalan dan pengajaran.

Seorang pegawai yang seharusnya melaksanakan amanah dengan dedikasi apabila diserang penyakit hati akan mengambil kesempatan lari daripada tanggungjawab dan menangguhkan kerja sehingga menjejaskan jabatannya.

Seorang pemimpin di rumah atau di tengah masyarakat jika tidak bersih hati akan rosaklah apa yang dipimpinnya dan terabai amanah. Seorang isteri yang tercemar hatinya suka menyusahkan suami, mengabaikan anak dan mendedahkan diri kepada dosa dan maksiat.

Seorang yang sembahyang, puasa dan sedekah dengan hati yang berpaling daripada Allah, hatinya akan mati, kotor dan menyimpan penyakit serta sudah tentu ibadahnya tidak memberi kesan kepada keperibadiannya.

Pertanyaan paling mahal dan bernilai bagi seorang Mukmin ialah: “Apakah aku sudah kehilangan hati suciku hari ini? Mengapa? Kerana hati menjadi asas segala sesuatu yang bernama sebuah kehidupan.

Hidup ini tidak akan bermakna tanpa hati yang hidup.

Jika hati mati maka semua amalan yang dilakukan akan menjadi tempang, kerja mengejar dunia akan mengaburi pandangan ke akhirat dan ibadat pula hilang kemanisannya.

Fokus utama hati hanya akan terarah untuk memenuhi kehendak nafsu, padahal ia diciptakan untuk sentiasa memandang keagungan Tuhannya, menerima hidayah dan kemudian mengawal semua gerak kerja seluruh anggota badan semata-mata untuk keredaan Allah.

Namun demikian, hati juga diciptakan dengan ciri sensitif seperti mudah terpengaruh oleh persekitaran, mudah berubah, berbolak-balik, kadang tersesat dan kadang terpimpin.

Adalah menjadi tugas seorang Mukmin menjaga hatinya, merawat dan menghidupkan semangat iman di dalam hati.

Sahabat Rasulullah pernah menerima teguran langsung melalui wahyu-Nya, supaya mereka sentiasa mengurus hati dengan penjagaan baik agar ia dapat berfungsi dengan sempurna sebagai ejen penerima hidayah Allah.

Menurut pendapat Abdullah ibn Mas’ud, Allah menegur mereka pada saat mereka baru empat tahun memeluk Islam. Dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalu masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Surah al-Hadid ayat: 16)

Apabila hati dibiarkan tanpa penjagaan, lama-kelamaan ia menjadi keras lalu membentuk benteng kukuh yang tidak dapat ditembusi cahaya hidayah Allah.

Terkunci mati dan menjadi sarang kejahilan dan kejahatan. Jika demikian keadaannya maka yang menjadi raja di dalam hati ialah iblis dan nafsu syahwat.

Hasilnya semua amal dan kerja berorientasi pada kemahuan keduanya. Kalau keadaan sebegini dibiarkan sepanjang masa, boleh jadi seseorang akan kehilangan hatinya.

Pernahkah anda melihat manusia yang tidak memiliki hati? Orang yang langsung tidak mahu mendengar apa kata hatinya akibat nurani bersih hasil limpahan ilham daripada Allah sudah tiada lagi. Kerana dia sendiri sudah meleburkan hatinya bersama kegelapan tanpa mahu menerima cahaya Ilahi.

Pada hakikatnya, cahaya menyinari hati bersumber pada tiga pancaran, iaitu cahaya al-Quran, sembahyang dan mengingati mati.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Al-Imam Al-Ghazali, beliau berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka mohonlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati.”

Cahaya hati pertama – membaca al-Quran.

Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal Allah, dan tiada jalan yang paling dekat untuk mengenal Allah selain mempelajari al-Quran.

Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan daripada Allah, tanpa bergantung kepada-Nya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan.

Kejayaan itu ialah sejauh mana seseorang mengikat dirinya dengan Allah dengan ikatan kuat. Maka al-Quranlah yang menjadi ikatan antara hamba dengan Allah Taala. Melaluinya seseorang pandai memilih yang hak daripada batil, dia mengetahui jalan terang dan mengikuti petunjuk al-Quran. Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya melalui bimbingan wahyu.

Dia lahir menjadi manusia jujur, kuat bekerja dan memiliki misi yang jelas dalam hidupnya kerana diniatkan segala pekerjaannya itu sebagai ibadah kepada Allah.

Kalaupun seseorang itu malas, miskin dan suka menyusahkan orang lain punca pertama penyakitnya ialah kerana dia jahil, jauh daripada bimbingan al-Quran dan tidak mengenal Allah dengan lebih dekat.

Begitu pula kalau ada orang kaya dan berpangkat tetapi sengsara hatinya punca utama keadaan itu ialah jauhnya ia daripada Allah, merasa asing dengan ayat-ayatnya dan membiarkan diri terus menerus dalam kekeringan ilmu.

Kejayaan atau kegagalan itu bermula daripada usaha mengurus hati, mengenal Allah lewat kalam-Nya suci.

Cahaya hati kedua – mendirikan sembahyang.

Siapakah yang mahu berjaya dalam perniagaan; yang bercita-cita kariernya sentiasa naik ke puncak; mengimpikan pasangan hidupnya setia dan jujur; berharap anak-anak dan keluarga menjadi penyejuk matanya dan mahu sentiasa bergembira dan bahagia?

Semua itu hanya dapat dirasai dengan pertolongan Allah, yang memberi manfaat dan mudarat, membahagi dan mencabut rezeki bagi manusia, memberi petunjuk dan menyesatkan, mengatur segala urusan makhluk.

Siapa yang bergantung kepada selain Allah dia tidak akan mendapat faedah daripada pergantungannya itu.

Ibnu al-Qayyim Rahimahullah pernah berkata: “Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana Allah.

Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih mereka, carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi menghadap raja dan pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya kepada Allah.”

Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia kepada Allah dengan sedekat-dekatnya adalah sujud, permintaan tidak akan ditolak adalah doa ikhlas dan proses pembersihan dosa dilakukan terus menerus adalah sembahyang.

Apakah kejayaan seseorang itu bergantung kepada kualiti sembahyangnya? Mengapa tidak, jika sembahyangnya itu melahirkan akhlak yang mahmudah.

Sembahyang yang didirikan dengan sempurna syarat, rukun dan khusyuknya boleh diumpamakan stesen minyak yang bertugas mengisi kekosongan pada tangki kereta agar dapat meneruskan perjalanan hingga sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.’

Sembahyang adalah energi yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup mencabar.

Sembahyang berkualiti adalah yang boleh melahirkan jiwa yang reda sekali gus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba-lumba melakukan amal salih dan membina kehidupan di dunia.

Namun demikian, dunia tidak akan memperdayakan orang khusyuk hatinya serta menyerahkan diri sebulat-bulatnya kepada Allah.

Sembahyang juga menjaga seseorang daripada ancaman perhiasan dunia yang melekakan, dan menjadi salah satu cara kita mengingati diri supaya pandai merancang hidup yang selamat di dunia sampai ke akhirat.

Cahaya hati ketiga – mengingati mati.

Antara tanda kebijaksanaan orang Mukmin ialah pandai merancang masa depan.

Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat.

Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati dengan tenang?

Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik daripada kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati untuk sentiasa bertaubat.

Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan, memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan yang indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai kegiatan rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian.

Sebagaimana yang dilakukan Baginda Rasulullah lazim menziarah kubur dan mendoakan kaum Muslimin tidak kira siang ataupun malam.

Dengan membaca al-Quran, menunaikan solat dan sentiasa mengingati mati seorang Mukmin melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya.

Bagaimanakah pula keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini?

Mungkin hidupnya begitu hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula mungkin lebih terseksa, jika jahil tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.

Sumber: Berita Harian

Ibu bapa kena terus terang dengan anak

Elak menipu jika tidak tahu jawab soalan.
Kebenaran
Apa yang diberitahu kepada anak mestilah perkara yang benar. Ibu bapa jangan menipu anak. Jika ibu bapa tidak tahu jawapan kepada persoalan yang diajukan anak, beritahu mereka bahawa kita tidak tahu dan mengajak mereka mencari jawapannya. Jika ada perkara yang mungkin sukar bagi kita menjawab sendiri oleh sebab-sebab tertentu, minta bantuan daripada orang lain dan beritahu anak perkara sebenar.

Bercakap terus terang dan tepat
Apabila kita bercakap dengan anak, kita mesti menggunakan bahasa yang senang dan cakap terus terang serta tidak berbelit-belit. Kadangkala kita terpaksa memberikan satu-satu jawapan kerana tidak ada masa memikirkannya dan terpaksa membuat satu keputusan yang mengelirukan. Contohnya, anak meminta kebenaran bermain di luar tetapi hari panas, kita terus menjawab , “tidak boleh nanti dikejar anjing”. Sepatutnya kita beritahu terus bahawa “tidak boleh hari panas” dan beritahu bahawa nanti akan menyebabkan mereka (anak) sakit.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Sentiasa konsisten dan tepat
Apa saja yang kita terangkan kepada anak-anak atau mengajar mereka, mestilah dilakukan dengan konsisten dan tepat. Pembaharuan boleh diterima oleh anak-anak tetapi jangan membuat pembaharuan tanpa sebab yang munasabah atau tidak jelas.

Rangsangan
Keupayaan adalah asas membina semangat kepada anak-anak manakala kegagalan asas lemah dan boleh mematahkan semangat.

Harapan
Wujudkan perasaan positif dan tanamkan perasaan harapan yang tinggi dan jangan berputus harapan kepada anak-anak.

Berulang-kali
Anak-anak suka sesuatu yang berulang-ulang. Jika sesuatu itu dilakukan berulang-kali, maka lebih kuatlah pembentukan rangkaian di dalam otak mereka. Namun, elakkan perkara berulang atau pengalaman negatif terhadap anak-anak.

Jangkaan
Ajar anak supaya boleh membuat penentuan atau ramalan atas sesuatu yang terjadi atau apa yang bakal berlaku. Jika membuat sesuatu dengan anak berhenti sebelum anak masih minat dan seronok.

Disiplin/ Undang-undang
Anak tidak boleh dipukul, dicubit atau ditengking. Cara kita mendisiplinkan mereka mestilah diasaskan kepada: maruah yang tinggi, ilmu dan kefahamannya, wujudkan peraturan, terang dan tunjukkan cara, buat sebagai amalan dan menjadi contoh teladan

Kegembiraan
Dilakukan dengan penuh kemesraan dan kegembiraan. Perasaan gembira boleh mewujudkan keselesaan diri yang menyebabkan anak sentiasa riang. Perkataan yang digunakan, lagu-lagu pantun mestilah mewujudkan perasaan gembira. Elakkan perasaan sedih, sayu, pilu merendahkan anak, menghina manusia dan perkara negatif lain. Berikan anak-anak ilmu yang banyak, menjaga diri dan membina kemampuan melakukan banyak perkara yang berguna.

Kecewa
Anak perlu mengalami kekecewaan dalam hidupnya. Kehilangan barang yang disayanginya, perpisahan ibu bapa, kematian dan sebagainya adalah kekecewaan yang akan dihadapi anak-anak. Semuanya mesti dijelaskan kepada anak secara benar dan bantulah anak mengatasi kekecewaan itu.

Teladan
Teladan daripada ibu bapa dan orang lain dalam hidupnya adalah pengajaran yang paling efektif. Teladan yang baik akan meningkatkan ciri yang baik. Teladan yang buruk merosakkan amalan hidup dan kewibawaan anak.

Konsep Downshifting (merendah-rendahkan atau menurunkan semangat anak)
Jangan pukul, cubit dan menghina anak. Elakkan mencari salah, membeza-bezakan anak-anak, menyebut jangan, tidak boleh tanpa sebab dan keterangan dan jangan menggunakan amaran yang marah tanpa sebab serta keterangan kukuh.

Konsep Expansion vs Replacement (Pengembangan lawan Pengambilalihan)
Membina keyakinan diri, maruah dan jati diri

Sumber: Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury,
Datuk Dr Noor Laily Abu Bakar,
Berita Harian.

Cinta Palsu Hancurkan Nilai Keinsanan

Hubungan luar biasa sesama manusia, Tuhan mesti ditunjangi perasaan ikhlas bukan nafsu.

KEWUJUDAN manusia adalah keunikan alam anugerah Allah dan komunikasi antara mereka memperlengkapkan kelangsungan sebuah kehidupan, manakala hubungan manusia dan pencipta-Nya pula menempah kejayaan hakiki.

Manusia memiliki fitrah kejadian seni dan agung sebagai pembalut naluri yang berfungsi untuk membina kestabilan asas keinsanan seorang manusia. Cinta juga menepati satu angka daripada perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang didefinisikan sebagai cetusan rasa daripada orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan mengganggu fitrah manusia.

Kesenian cinta didasari runtunan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat adalah lambang kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta sering kali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu dan hasutan iblis laknatullah.

Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah suci dan iman yang komited kepada Allah. Cinta sebenar adalah perasaan luar biasa lahir dari satu hati dan jiwa kepada hati dan jiwa yang lain.

Justeru, tidak wujud cinta biasa, yang ada hanyalah cinta luar biasa kerana sesiapa memahami erti cinta, akan tahu hakikatnya yang luar biasa kerana kita akan mencintai orang lain lebih daripada seseorang itu mencintai dirinya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin mendapatkan kemanisan iman maka hendaklah ia mengasihi seseorang kerana Allah.”

Dan cinta, apabila luar biasa, tentulah tidak sama dengan cinta yang tidak didasari oleh kecintaan kepada Allah. Cinta luar biasa, semakin kita mencintai, makin kita cinta Allah.

Permasalahan cinta dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini ialah pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu memapah umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spiritual malah membunuh solidariti dan menodai sosial.

Individu Muslim sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta yang menguasai jiwa. Cinta berteraskan nafsu dan syahwat adalah cinta palsu yang tidak akan ke mana-mana. Cinta kerana harta, adalah cintakan harta, cinta kerana pangkat adalah cintakan pangkat, cinta kerana keturunan adalah cintakan keturunan, bukannya cinta lahir dari hati yang ikhlas untuk bersama si dia sepanjang hayat.

Cinta harta sering membuat manusia menjadi lupa diri dan tanggungjawab. Harta jugalah sering menewaskan kekuatan pejuang. Justeru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah, bukan kefakiran yang aku takut menimpa kamu, tetapi aku takut kamu dibentangkan dengan kemewahan dunia seperti dibentangkan kepada umat pada zaman dulu, lalu kamu bergelumang dengan dunia dan merebutnya seperti mereka sebelum kamu lalu kamu binasa seperti mana mereka binasa.”

Memiliki harta tidak dihalang syarak sebaliknya cinta harta itulah yang di pandang keji tetapi harta bermanfaat apabila ia menjadi alat bantu perjuangan menegakkan agama Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Berangkatlah sama ada ringan atau berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah, sedemikian itu terlebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah At-Taubah, ayat 41)

Cinta pangkat dan kedudukan, jika turut melanda individu dalam gerakan Islam akan menyuburkan lagi persengketaan dingin yang melambatkan proses mencapai kemenangan. Kadangkala terfikir juga, untuk apa mengejar pangkat dan kedudukan sedang di akhirat kelak kita akan menjadi manusia hina dina?

Al Fudhail mengingatkan kita: “Kalaulah dunia ini terdiri daripada emas yang akan binasa dan akhirat dari tanah bakar (tembikar) yang kekal, sayugia kita memilih tanah bakar yang kekal berbanding emas yang binasa.”

Kita harus tahu perasaan yang lahir dalam hati adakah ia mendorong kepada hidup bersama untuk mencapai reda-Nya atau sebaliknya? Jika kita kenal pasti cinta untuk mendapatkan kemanisan iman, maka teruskanlah dengan sebuah perkahwinan, jika sebaliknya, percayalah bahawa cinta itu buta dan akan menggelapkan sebuah kehidupan.

Jodoh hanya datang selepas kita berusaha ke arah itu kerana tidak ada kebenaran untuk mendapatkan mana-mana hak bersama sebagai suami atau isteri tanpa kebenaran sama ada tuan punya badan atau walinya. Jangan menyalahkan jodoh semata-mata kerana ia tidak datang bergolek.

Jodoh boleh diatur kerana ia hanyalah sebuah kejadian yang dirancang dengan izin-Nya, tetapi carilah cinta yang luar biasa.

Sumber: Berita Harian.
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Waktu afdal membaca al-Quran

Waktu yang digalakkan membaca Al-Quran adalah:

1. Pada sebelum masuknya waktu solat Subuh.
Kelebihan: Kuburnya kelak akan disinari cahaya.

2. Pada ketika selepas solat fardu.

3. Pada waktu sebelum masuk tidur. Surah yang digalakkan adalah surah al-Mulk dan al-Kahfi.
Kelebihan: Sekiranya seseorang meninggal dunia ketika tidurnya, dan membaca surah tersebut, ia akan terlepas daripada seksaan di dalam kubur sehingga hari kiamat.

sumber: ikim.fm

Hadith Qudsi

Setiap amalan anak Adam
adalah digandakan pahalanya
kepada sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda,
maka berfirman ALLAH Subhana Wa Ta’ala :

Kecuali puasa,
sesungguhnya ia adalah khas untuk-Ku
dan Akulah yang akan membalas kebaikannya,

mereka meninggalkan makanan,
minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya kerana-Ku.”

[Riwayat Al-Bukhari & Muslim]

Tafsir Quran – Surah Al-A’raf (minggu 1 – Sept’08)

Alhamdulillah, Untuk minggu pertama September ini, dapat saya sempurnakan 5 hari berturut² program tafsirul Quran di Ikim.fm. Masih membincangkan ayat ke 157 Surah Al-A’raf kerana masih ada beberapa perkara menarik pada ayat berkenaan.

Untuk kemudahan anda, saya sertakan bersama potongan ayat 157 daripada Surah Al-A’raf ini..

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الأمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالأغْلالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: (Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang umi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Qur’an), mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Tafsir Surah Al-A’raf (ayat 157 (samb.5)) 01.09.08

Tafsir Surah Al-A’raf (ayat 157 (samb.6)) 02.09.08

Tafsir Surah Al – A’raf (ayat 157 (samb.7)) 03.09.08

Tafsir Surah Al-A’raf (ayat 157 (samb.8)) 04.09.08

Tafsir Surah Al-A’raf (ayat 157 (samb.9)) 05.09.08

Untuk info lanjut dan semua siri untuk program tafsirul quran ini sila baca di “Laman Tafsirul Quran“.
Anda boleh memuat turun audio ini secara percuma di aimini.net (kini anda perlu daftar untuk memuat turun; masih percuma).

« Older entries